Kajian Pemakanan
Dewasa Malaysia yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mendapati penduduk
negara ini mengambil tidak sampai suku gelas susu pun sehari.
"Ini amat kurang jika dibandingkan dengan Saranan Panduan
Diet yang memerlukan individu dewasa minum sekurang-kurangnya dua gelas susu
sehari.
"Malah satu kajian dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan
murid sekolah rendah kurang minum susu dan hanya 20 peratus yang meminumnya
setiap hari," katanya.
Mengapa tidak minum susu? Macam-macam alasan diberikan. Ada yang
tidak gemar rasanya, ada pula tidak suka baunya. Paling tidak munasabah, ada
yang beranggapan minum susu hanya untuk bayi.
"Pokoknya, minum susu bukan budaya masyarakat kita,"
kata Dr. Norimah.
Kebiasaannya seorang ibu menyusukan bayinya sehingga berusia dua
tahun dan selepas itu ramai yang tidak memberikan bayi mereka susu lagi.
Memang diakui susu ibu adalah pakej makanan lengkap yang bersih,
berkhasiat dan selamat selain mengandungi banyak nutrien yang diperlukan oleh
badan terutama bayi.
Namun beliau mengingatkan, tempoh dua tahun pertama usia
kanak-kanak menyusu dengan ibu sahaja tidak mencukupi. "Kanak-kanak yang
sedang membesar perlu minum susu untuk menjadikan mereka lebih aktif, tulang
lebih kuat di samping membantu perkembangan fizikal dan mental," ujarnya.
Sepatutnya jelas beliau, selepas bercerai susu ibu, bayi perlu
diberikan susu dalam botol atau cawan bergantung kepada umur cerai susu. Jika
tidak dibiasakan minum susu pada peringkat kanak-kanak, lebih sukar untuk
mereka mempunyai tabiat minum susu apabila dewasa.
Kini terdapat banyak jenis susu di pasaran seperti susu segar,
susu yang diproses pada suhu tinggi (UHT), susu steril, susu pasteur, susu
tepung selain susu yang diperkayakan dengan pelbagai nutrien.
"Susu dengan pelbagai tambahan nutrien seperti untuk
kecerdasan otak dan kecergasan menjadikan harganya semakin mahal berbanding
susu biasa," katanya.
Sebenarnya, kata Dr. Norimah, susu biasa sudah mencukupi untuk
tumbesaran kanak-kanak kerana khasiat atau nutrien boleh didapati dalam
pelbagai jenis makanan asalkan diambil secara sederhana, seimbang dan pelbagai.
Mengenai ramai yang tidak suka susu kerana rasa dan baunya, beliau menggalakkan
mereka menambah perisa coklat atau malta mengikut citarasa. "Kebanyakan
kanak-kanak sukakan perasa coklat tetapi jangan tambah gula," katanya.
Dr. Norimah berkata, susu memang unik kerana ia makanan sempurna
sebab itulah ia menjadi makanan awal bagi manusia. "Jadi selepas bercerai
susu, kanak-kanak boleh diberikan susu dalam pelbagai bentuk seperti kastard,
puding atau susu kocak. "Sebagai ibu, kita patut mempelbagaikan susu
mengikut citarasa anak kita seperti menambah pada bijirin sarapan pagi,"
katanya.
Baginya, tidak ada alasan untuk tidak mengambil susu hanya
kerana kurang gemarkan rasa atau baunya kerana khasiat susu juga boleh
diperoleh daripada yogurt atau aiskrim. Seelok-eloknya jelas Dr. Norimah, ibu
bapa perlu minum susu bersama anak-anak.
"Seperti yang diketahui umum, susu kaya dengan kalsium.
Kanak-kanak perlu minum susu kerana kalsium penting untuk pembentukan tulang
dan gigi. Protein dan pelbagai vitamin yang terkandung di dalamnya pula
membantu pembesaran dan kesihatan. "Justeru susu amat penting dalam proses
pertumbuhan kanak-kanak. Biasanya kanak-kanak yang minum susu lebih tinggi
daripada ibu bapa mereka," ujarnya.
Menjadi harapan Dr. Norimah, ibu bapa di Malaysia mengetahui
kebaikan susu lalu mendidik anak mereka untuk terus minum susu sehingga dewasa.
Pengambilan susu bergantung kepada usia. Jika kanak-kanak
memerlukan susu sekurang-kurangnya dua gelas sehari, orang dewasa pula perlu
minum sehingga tiga gelas sehari.
Bagi wanita, katanya, susu penting untuk mengelakkan kehilangan
kepadatan tulang.
Nasihatnya kepada wanita yang enggan minum susu kerana kononnya
takut gemuk, mereka boleh mengambil susu skim tidak berlemak atau susu rendah
lemak dengan separuh lemak. Bagaimanapun, menurutnya, susu kurang lemak
bermakna kurang Vitamin A dan D.
Bagi mereka yang alahan terhadap laktosa pula, beliau
menyarankan mereka mengambil susu kacang soya - namun khasiatnya tidak sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan